Sunday, January 31, 2010

Menguap Menurut Islam

0 comments
Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'.

Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya. (Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." Riwayat Imam Muslim.

Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu." Hadith riwayat Imam Muslim,
Ahmad dan At-Tirmidzi

Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah bersabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin." Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi

Pengajaran daripada maksud hadith, antara adap-adap menguap dan bersin:

1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.

2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat.

3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.

4. Sunat ketika bersin mengucapkan "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan "Yarhamukallah".

5. Sunat mengucapkan "Astaghfirullah" selepas menguap.

Friday, January 22, 2010

Kekeliruan Antara Masjid Al-Aqsa dan Dome of The Rock- Agenda Zionis Untuk Menghapuskan Al-Aqsa

0 comments
Kekeliruan Antara Masjid Al-Aqsa Dengan Dome of The Rock



Melihat pada gambar di atas, tentunya ramai yang menyangka bahawa masjid di atas adalah Masjid Al-Aqsa. Jika diperhatikan denga teliti, kita akan dapat melihat sebuah lagi kubah berwarna hijau yang kelihatan agak samar-samar. Percayalah, kubah yang berwarna hijau itulah Masjid Al-Aqsa yang sebenarnya.
   Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan golongan 'Bintang Enam'. Dalam keadaan yang demikian, pihak mereka telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan Umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjidil Aqsa. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Apabila Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.
   Lihat pula gambar di bawah, berikut adalah gambar sebenar Masjidil Aqsa pada jarak yang lebih dekat. Betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil Aqsa. Hanya Jauhari juga yang mengenal Manikam




Agenda  Mereka Untuk Menghapuskan Al-Aqsa

Berikut disertakan juga terjemahan daripada surat yang dikarang dan dikirimkan oleh Dr. Marwan kepada ketua pengarang "Al-Dastour" harian. Berhati-hatilah dengan perancangan golongan 'Bintang Enam' tentang Masjidil Aqsa. Jangan biarkan mereka berjaya dengan peracangan mereka.

Terjemahan surat Dr. Marwan:
   Terdapat beberapa kekeliruan di antara Masjidil Aqsa dan The Dome of The Rock. Apabila sahaja disebut tentang Masjidil Aqsa di dalam media tempatan mahupun antarabangsa, gambar The Dome of The Rock pula yang dipaparkan. Sebab utama ia dilakukan adalah bagi mengabaikan orang ramai dimana ianya adalah perancangan mereka. Tinjauan ini diperolehi semasa saya tinggal di USA, dimana saya telah dimaklumkan bahawa mereka di Amerika telah mencetak dan mengedarkan gambar tersebut dan menjualkannya kepada orang arab dan Muslim. Kadangkala dijual dengan harga yang murah bahkan kadangkan diberikan secara percuma supaya Muslim dapat mengedarkannya dimana-mana sahaja. Tak kira di rumah mahupun pejabat.
   Ini meyakinkan saya bahawa mereka ingin menghapuskan gambaran Masjid Al-Aqsa dari ingatan umat Islam supaya mereka dapat memusnahkannya dan membina kuil mereka tanpa sebarang publisiti. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang atau merungut, maka mereka akan menunjukkan gambar The Dome of The Rock yang masih utuh berdiri, dan menyatakan bahawa mereka tidak berbuat apa-apa. Rancangan yang sungguh bijak! Saya juga merasa amat terperanjat apabila bertanya kepada beberapa rakyat arab, Muslim, bahkan rakyat Palestin kerana mendapati mereka sendiri tidak dapat membezakan antara kedua bangunan tersebut. Ini benar-benar membuatkan saya berasa kesal dan sedih kerana hingga kini mereka telah berjaya dalam perancangan mereka.

Dr. Marwan Saeed Saleh Abu Al-Rub Associate Professor,
Mathematics Zayed University Dubai

Gambar-gambar Berkaitan.

sumber: http://www.darulnuman.com

Wednesday, January 20, 2010

BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA

0 comments

 وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ

 تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً

• Firman Allah Subhanallah Ta'la dalam Surah Al-Isra' ayat 23 bermaksud : Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanye berumur lanjut dalam pemeliharaan mu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-dua nya perkataan 'ah; dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia....

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.
Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.
"Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.
"Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan.
"Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.
"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di tepi pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.
"Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.
"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah."
"Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"
"Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.
"Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

DISEDIAKAN OLEH:
USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA 019-2627636
PENGETUA
MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL-ABRAR
E mail:Ibrahim_mtd07@yahoo.com
Sebarang sumbangan Zakat/derma bolehlah dimasukan ke
AKAUN BANK MUAMALAT 08030002138714 @ CIMB BANK 08150000173109

Tuesday, January 19, 2010

KULIAH FIQH WANITA- BAB THAHARAH

0 comments

Pada hari Ahad 17/01/2010 jam 9-11am , Pihak muslimat surau Al-Munawwarah IP telah berjaya menganjurkan  kuliah fiqh wanita khas untuk para muslimat di Kolej Kediaman Indah Permai untuk merungkai segala permasalahan yang melibatkan wanita dalam permasalahan Fiqh. Penceramah jemputan adalah Ustazah Khairiah diundang khas untuk menjayakan kuliah tersebut. Pada hari itu, bab yang disentuh adalah bab thaharah, iaitu satu bab yang sangat penting bagi seluruh orang muslim kerana pada bab inilah yang menjadi kunci kepada ibadah kita sebagai contoh, apabila kita tidak tahu mensucikan diri selepas datangnya haid atau nifas, maka segala amal ibadah kita yang tidak sah, contohnya solat, puasa, zakat dan membaca al-quran. Disudut pandangan yang lain, kita dapat merasai betapa indahnya islam yang mana amat mementingkan kesucian kepada penganutnya dalam kehidupan seharian. Disini di bawakan ringkasan kuliah pada hari tersebut dan kuliah ini akan diadakan sebulan sekali. Semua muslimat IP yang dahagakan ilmu islam dijemput hadir untuk mempersiapkan diri kita dengan ilmu-ilmu agama.

MANDI, HUKUM DAN FAEDAH-FAEDAHNYA.



Definisi mandi dari segi bahasa adalah menjirus air ke atas sesuatu. Definisi mandi dari sudut syarak pula adalah meratakan air ke seluruh badan.



Melihat kepada definisi mandi mengikut syarak, cara mandi yang sebenarnya adalah dengan meratakan air keseluruh anggota badan. Sebahagian orang mandi dengan tergesa-gesa sehingga membiarkan sebahagian tubuhnya yang lain tetap kering. Terdapat juga sebahagian yang lainnya tidak memperhatikan beberapa bahagian tubuh yang kadangkala air tidak menjangkaunya, seperti bawah lutut, belakang telinga, ketiak, dan lipatan-lipatan perut bagi orang yang gemuk. Hal ini termasuk kesempurnaan mandi yang diperintahkan.



Jenis-jenis mandi
·  Mandi sunat
Iaitu mandi yang dilakukan setiap hari untuk tujuan membersihkan diri
·  Mandi wajib
Mandi yand dilakukan disebabkan perkara-perkara yang berikut
a)    Junub, iaitu keluarnya air mani yang disertai dengan syahwat baik ketika tidur maupun terjaga, laki-laki ataupun perempuan. Termasuk juga jima’ iaitu bertemunya dua kemaluan, meskipun tidak disertai dengan keuarnya mani.
b)   Setelah masa haid berakhir dan nifas
c)    Meninggal dunia
d)    Seseorang yang baru masuk islam

Syarat wajib mandi
·         Niat
·         Membasahi seluruh badan dengan air
·         Menyela-nyela rambut

Sunnah mandi
·         Membaca basmalah
·         Membasuh kedua telapahk tangan tiga kali ketika akan memulai mandi
·         Memulai dengan membersihkan kemaluan dan menghilangkan kotoran
·         Berwudhu sebelum mandi

Tata cara mandi
· Mandi junub
Sesetengah orang tidak mengetahui tata cara mandi junub yang sesuai dengan sunnah. Mereka hanya menyiramkan air di tubuhnya kemudian pergi, atau masuk di bawah pancuran air, lalu menggosok badannya dengan air dan sabun, kemudian keuar. Tata cara mandi junub yang sebenarnya mengikut sunnah adalah seperti berikut:
i)         Membasuh kedua tangan
ii)        Membasuh kemaluan dengan sabun dan sejenisnya.
iii)       Membasuh kedua tangan dekali agi dengan sabun dan sejenisnya.
iv)       Berwudhu dan membiarkan kedua kakinya.
v)        Membasuh kepala tiga kali dengan air bersih
vi)       Membasuh tubuh bahagian kanan tiga kali dengan air bersih.
vii)      Membasuh tubuh bahagian kiri tiga kali dengan air bersih.
viii)     Kemudian berdiri dan membasuh kedua kaki.
 Cara mandi ini berdasarkan hadis Ummul Mukminin Maimunah Radiallahuanhu tentang
cara mandi Nabi (S.A.W)[1]
·Mandi haid dan nifas
Mandi haidh dan nifas sama seperti mandi junub, kecuali dalam satu hal, iaitu wanita perlu mengambil kapas yang telah dilumuri dengan minyak wangi atau parfum lainnya (hendaklah menghindari parfum yang mengandungi alcohol). Kemudian ia membersihkan kemaluannya dengannya agar hilang bau darah yang tidak sedap. Kemudian mandi dengan tata cara yang telah disebutkan tadi.
     Dari Aishah Radiallahuanhu bahawa seorang wanita Anshar bertanya kepada Nabi (S.A.W), “bagaimana aku mandi dari haidh?”
     Beliau menjawab, “Ambillah sepotong kapas yang dilumuri dengan minyak wangi lalu bersihkanlah dengannya”.
     Ia bertanya, “Bagaimana aku membersihkan dengannya?”
     Beliau menjawab,”Subhanallah, bersihkanlah.”
     Aisyah Radiallahuanhu mengatakan,”maka aku menariknya kepadaku lalu aku katakana,’Bersihkanlah bekas darah dengannya’.”[2]

Faedah-faedah mandi
·         Untuk mendapatkan pahala
·         Menghasilkan kebersihan
·         Menghasilkan kesungguhan dalam beribadah



[1] Shahih, riwayat al-Bukhari, no. 265; Muslim, no. 317
[2] Shahih, riwayat al-Bukhari, no. 314; Muslim, no. 332



















Perkongsian..

0 comments


Bismillah wal hamdulillah, solatullah wa salamuhu ala rosulil amin.
Syukur sebanyak-banyaknya diucapkan kepada Allah, Tuhan aku dan tuhan kamu selama-lamanya kerana diberi nikmat iman dan islam.
Untuk pengisian yang pertama blog surau almunawwarah kkip, suka ingin mengingatkan kita bahawa segala yang ditulis diblog ini adalah dibawah tanggungjawab Unit Pengurusan Surau AlMunawwarah KKIP dan kami akan bertanggungjawab atas segala pengisian ataupun posting yang dilakukan dalam blog ini.
Pembaca yang dirahmati Allah.

Blog adalah salah satu medium penyampai maklumat yang banyak digunakan oleh ramai orang terutamanya mahasiswa untuk melahirkan pendapat mereka tentang sesuatu perkara ataupun isu-isu semasa, Kadang kala para mahasiswa menulis dan melahirkan pendapat terhadap isu-isu semasa hanya berdasarkan sentiment ataupun kehendak mereka tanpa berpandukan ilmu dan fakta yang betul untuk berhujjah tentang sesuatu perkara. Fenomena ini sangat berbahaya kerana para mahasiswa seolah-olah lupa tentang dasar sesuatu pertuturan ataupun tulisan iaitu ILMU!!.. malah kadang-kadang para mahasiswa berani melahirkan pendapat yang dangkal berkenaan dengan isu-isu islam dan hukum-hukam islam berdasarkan perasaan dan sentimen mereka sahaja,bukan berdasarkan ilmu ataupun sumber-sumber ilmiah tentang sesuatu ilmu ataupun hukum-hukum islam sedangkan dasar kepada islam adalah ilmu. 


Tulisan dibawah adalah hasil daripada tulisan Dr. MOhd Asri Zainul Abidin bekas mufti perlis yang bertajuk “TANGAN MENCATAT DI BUMI, JIWA MENDONGAK KE LANGIT” adalah sangat bagus untuk kita hayati dan bermuhasabah tentang panduan menulis dan marilah kita menghayati dan mengambil pengajaran.
“Sesungguhnya kepetahan dan kefasihan itu tidak dimiliki oleh semua orang, demikian juga ketajaman dan ketangkasan pena itu juga tidak dimiliki oleh semua insan. Bahkan ramai yang fasih lidahnya, tidak lancar pula penanya. Demikian, ramai yang lancar penanya, tidak fasih pula lidahnya. Hanya insan-insan tertentu yang Allah kurniakan kefasihan lidah dan kelancaran pena. Apapun, samada lidah yang fasih, atau pena yang lancar kesemuanya adalah anugerah Allah SWT yang akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak. Firman Allah:

(maksudnya) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Peranan lidah dan pena (tulisan) adalah sama, iaitu menyampaikan mesej kepada (sasaran) semua orang tentang sesuatu ilmu atau perasaan yang tersimpan didalam jiwa atau pemikiran seseorang penyampai untuk memberi pemahaman kepada sasaran. Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh semua orang.

Pena dan lidah wajib berperaturan.

Maka, seperti lidah itu ada peraturan dan amanah yang Allah bebankan ke atas insan yang mampu menyampaikan mesej, demikian juga para penulis.

(maksudnya) Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisiNya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Bahkan kadang-kala bebanan tanggungjawab penulis jauh lebih besar. Sesuatu perkataan buruk yang dilafazkan mungkin hanya berakhir dalam satu majlis, atau tersebar dalam masyarakat dalamtempoh tertentu. Tetapi, sesebuah buku, atau rencana yang buruk mungkin diwarisi dari generasi ke generasi. Justeru, kadar dosa yang ditanggung oleh seseorang itu berdasarkan kadar keluasan daerah keburukan yang ditebarkan. Adalah tidak mustahil kadang-kala hanya dengan satu perkataan yang ditulis menyebabkan kerosakan yang bukan sedikit kesannya. Demikian juga, tidak mustahil juga, dengan satu perkataan dapat diselamat kezaliman dari tercetus. Sabda Nabi s.a.w:

(maksudnya): “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian. lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik 2/163 dan al-Tirmidhi 4/559).

Sepatah ucapan atau tulisan mampu menghalang kezaliman atau menyelamatkan individu, masyarakat dan negara. Juga, sepatah ucapan atau tulisan boleh menyebabkan ada pihak yang dizalimi, atau kerosakan individu, masyarakat dan negara. Ini merangkumi ucapan dalam pidato, sembang-sembang, bisik-bisikan dan seumpamanya. Demikian juga tulisan samada dalam bentuk surat menyurat, sms, pada iklan, rencana, buku dan seumpamanya. Betapa banyak tulisan yang telah menggerakkan perkara-perkara besar yang memberi manfaat kepada masyarakat. Juga betapa banyak pula tulisan yang mampu menghalang kezaliman pihak tertentu. Demikian juga betapa banyak tulisan yang membawa keburukan, kezaliman, pengubahan hakikat dan fakta sebenar dalam kehidupan masyarakat.

Pena yang jujur bukan pedang si zalim.

Pena yang amanah bukan seperti pedang si zalim yang mencederakan sesiapa sahaja yang dibencinya. Pena yang amanah bagaikan pedang keadilan yang hanya menghukum yang zalim dan mempertahankan yang benar. Pedang si zalim amat berbeza dengan pedang perwira yang soleh. Pedang si zalim tidak pelu bertanya tentang salah dan bukti untuk ia menebas seterusnya. Dia hanya perlu tahu siapa yang ada di hadapannya? Orang yang dia suka atau yang dia benci. Sesiapa yang dibenci, maka dia dihukum walaupun dosanya tidak terbukti, atau kadar dosa itu belum cukup untuk dia dihukum demikian rupa. Ini bercanggah dengan arahan Allah dalam Surah al-
Maidah: 8:

(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

PENULIS BUKAN PELACUR
Pena yang menulis atas kehendak orang lain sedangkan empunya tahu apa yang ditulis itu meminggirkan hakikat kebenaran sebenarnya adalah ‘pena lacur’. Seperti seorang pelacur yang memperalatkan tubuh dan rupanya untuk memuaskan nafsu orang lain atas upahan yang dijanji atau diharapkan, demikian penulis yang memperalatkan kebolehannya mengatur rangkap ayat dan bahasa demi memuaskan kehendak orang lain kerana mengharapkan sesuatu. Allah mengutuk Ahl al-Kitab disebabkan mereka menyelewengkan fakta kitab-kitab Allah kerana mengharapkan habuan dunia. Firman Allah:

(maksudnya) : Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini datang dari sisi Allah", supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

PENULIS BUKAN ‘PENYOROK BARANG’.
Penulis yang amanah juga bukan seperti ‘penyorok barang’ yang menyembunyikan bahan untuk dikeluarkan apabila harga di pasaran baik. Atau terus menyembunyikannya jika dirasakan harga pasaran tidak menguntungkan. Tidak! Pena yang amanah akan mengeluarkan fakta dan menyuarakan kebenaran sekalipun ‘pasaran’ tidak memberangsangkan. Penulis yang jujur tidak akan menyembunyikan fakta yang membela kebenaran demi menunggu ‘harga pasaran’. Jika para penulis bersikap begitu, pena kebenaran akan mati, lantas akan hidup atas bangkai itu tinta kemunafikan. Sebab itu Allah melaknat penyembunyi fakta dalam firmanNya:

(maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di Dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

PENA BUKAN PERAKAM TANPA AKAL
Penulis bukan pelapor setiap yang diterimanya tanpa memikirkan kebenaran dan kesan laporan tersebut. Penulis bukan seperti alat perakam yang hanya merakam apa sahaja tanpa dapat menilai sama ada benar atau salah. Penulis yang amanah, jikapun dia melaporkan sesuatu maklumat yang meragukan, hendaklah dia memberikan komentarnya yang amanah lagi adil mengenainya. Agar pembaca yang tidak memiliki kemampuan menilai sendiri tergerak untuk berfikir atau merenung sesuatu maklumat itu agar tidak ditelan mentah-mentah. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda:

“Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar” (Riwayat Muslim).

TAQWA MEMANDU PENA
Apabila ilham datang dan semangat pun mengundang, maka pena penulis pun berlari pantas. Sehingga jika tidak berhati-hati, dek derasnya arus idea yang mengalir, dia mungkin terlupa berpaut pada dahan tanggungjawabnya sebagai seorang yang akan dipersoalkan Allah pada Hari Kiamat. Dia mungkin terlupa tujuannya, juga kesannya. Dia mungkin menganggap tulisannya hanya coretan pena, atau taipan di maya internet, lalu dia lupa ada pihak yang mungkin tercedera tanpa dosa atau tertekan tanpa kesalahan. Bak kata al-Quran dalam Surah al-Nur ayat 15:

(maksudnya): "ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya".

Sabda Nabi s.a.w. ketika haji terakhir baginda:
"Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini(hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

PENUTUP
Wahai penulis, apa yang engkau tulis atas lembaranmu, ia ditulis di sisi Tuhanmu! Maka ketika tanganmu mencatat di bumi, jiwamu hendaklah mendongak ke langit tinggi!!!


Monday, January 11, 2010

Satu Permulaan

0 comments
SALAM WASILAH UKHUWAH FILLAH

   Alhamdulillah.Setelah perancangan demi perancangan disusun, akhirnya terciptalah blog ini. Terciptanya blog surau al-munawarah ini adalah sebagai satu wadah ataupun wasilah daripada kami, Unit Pengurusan Surau (UPS) Surau Al-Munawarah untuk anda dalam berkongsi serba sedikit informasi dan ilmu untuk kebaikan bersama.

    Kami akan sedaya upaya memberikan yang terbaik dan sentiasa mengemaskini informasi-informasi yang berkaitan dengan aktiviti surau mahupun isu-isu di sekeliling kita untuk tatapan anda semua. Moga kita mendapat kebaikan dari blog ini.
 
   Syukran Jazilan daripada Unit Pengurusan Surau Al-Munawarah, KKIP